Slideshow

Thursday 22 September 2011

~AKU MAAFKAN KESILAPAN KAMU TP KAMU JUGA MAAFKANLAH AKU~


Sudikah kita memberi peluang kedua, ketiga bahkan tidak kira kali keberapun untuknya memperbaiki diri? Jika sudi, benar kita masih cinta. Namun jika jemu, jika enggan, jika bosan itu petanda kurangnya rasa cinta. Ingatlah, jika pasangan kita ada karenahnya, apa kurangnya kita? Jangan kesabaran kita sahaja yang diperkirakan, kesabaran pasangan kita terhadap karenah kita juga wajar dipertimbangkan. Ingat selalu, suami adalah cermi siisteri dan begitulah sebaliknya. Hubungan kesalingan ini menunjukkan bahawa bagaimana perangai dan akhlak kita maka begitulah perangai dan akhlak pasangan yang ditakdirkan untuk bersama kita!
Jadi, jangan cepat menyalah atau mengalah, sebaliknya banyakkan muhasabah diri. Sedarlah bahawa kelemahan ataupun keburukan yang ada pada pasangan kita itu sebenarnya, bukan sahaja tidak diingini oleh kita tetapi juga oleh mereka. Mereka pun pada hakikatnya sedang berhempas pulas untuk mengatasi kelemahan atau keburukan itu. Kalau begitu, adalah lebih baik sekiranya kita membantu daripada ‘membuntu’ mereka.
Malangnya, hal diatas jarang berlaku. Kebanyakan orang tidak sabar dengan karenah pasangan mereka. Keceriaan dan ketenangan hidup terasa semakin terhakis oleh tabiat buruk pasangan. “Abang, saya hilang bahagia kalau abang berterusan marah-marah begini.” “Kalau you buat muka masam macam ni, I tak da pilihan. I terpaksa keluar ‘enjoy’ dengan kawan-kawan.” Kekadang suara begitu diperdengarkan. Tetapi acapkali dipendamkan. Kata-kata itu atau yang seumpama dengannya membayangkan penuturnya hilang ‘interest’ dengan pasangannya. Kata orang, habis manis sepah dibuang. Padahal, telek-teleklah kenapa suami puan muram, kenapa isteri tuan masam… Mungkin akibat beban kerjanya dipejabat. Mungkin impak perangai anak-anak di rumah. Atau yang lebih parah lagi, mungkin kerana karenah puan atau tuan sendiri. Masya-Allah.
Kita akan membuang barang yang kita miliki sekiranya barang itu hilang fungsinya. Kalau sesuatu itu tidak membawa manfaat kepada kita, apa guna lagi untuk meyimpannya? Begitulah cinta kalau tujuannya hanya untuk memiliki. Tetapi kalau cinta itu bukan untuk memiliki, kita akan terus cinta tidak kira apa jua keadaan pasangan yang kita cintai itu… Barang yang hilang fungsi bukan untuk dibuang, tetapi untuk diperbaiki. Begitulah sikap sebenarnya seorang isteri atau suami apabila berdepan dengan keburukan atau kelemahan pasangannya. Demi cinta, dalam diam-diam suara hati mereka membisikkan, kalau aku tidak dapat apa yang aku sukai, aku mesti belajar menyukai apa yang aku dapat!
Ah, betapa hebatnya sebuah kisah cinta seorang ahli sufi terhadap isterinya. Kisah yang menyebabkan saya termenung dan merenung begitu lama. Pada hari kematian isterinya barulah masyarakat tahu bahawa dia sebenarnya bukanlah seorang yang cacat… Dia hanya ‘berlakon’ cacat hanya untuk menjaga maruah dan harga diri isterinya yang benar-benar cacat. Berapa lama dia berlakon begitu? Puluhan tahun! Subhanallah. Itulah cinta yang sebenar. Cinta yang melepaskan belenggu psikologi, penjara jiwa dan rantai fikiran yang boleh menghilangkan kebahagiaan daripada diri pasangannya.
Tidak ada cinta seikhlas cinta Allah. Allah yang Maha Kaya itu tidak memerlukan sedebupun manfaat daripada hamba-Nya. Dia Al Qawwi, Dia Al Ghani… Tuhan maha Perkasa dan Tuhan maha Kaya, Tuhan tidak memerlukan kita sebaliknya kita yang memerlukan-Nya. Justeru, cinta-Nya benar-benar suci kerana hakikatnya Allah tidak inginkan sebarang balasan ataupun ganjaran.
Ya, Allah memang memiliki… tetapi DIA bukan membelenggu. Cinta-Nya membebaskan. Untuk bebas dariapada memperalatkan dan diperalatkan oleh cinta, jadikanlah cinta Allah sebagai asas dan di atas segala cinta. Jangan jadi sandera cinta, walaupun kepada isteri atau suamimu!

No comments:

Post a Comment